Friday 5 October 2012

Hari Ini

    Assalamualaikum semua....maaf, dah lama tak mengemaskini blog ini. Semakin hari, tanggungjawab semakin bertambah. Jadi kena pandai mengutamakan yang utama. Tergerak ingin berkongsi dengan anda semua tentang hari ini. Semasa hari-hari saya berlalu sebelum ini, saya hanya membiarkan dan membuka ruang sama ada untuk mengubah hari ini supaya lebih baik atau mantain yang sedia ada. Hari ini, saya terkesima dan rasanya hendak meletakkan hari ini sebagai gambar yang telah diletakkan di dalam bingkai gambar dan dilekatkan di dinding supaya saya  dapat menatapnya selalu pada hari-hari akan datang. Eeerm , mesti nak tahu kan apa yang berlaku pada hari ini? Mari sini nak mulakan bed time story nie...

    Hari ini ditakdirkan Allah untuk bertemu supervisor untuk bentang draf PSM. Saya yakin ramai yang melakukan perkara sama tapi ada perbezaan di antara kita semua. Baiklah saya kembali fokus tentang pertemuan saya dengan SV saya tadi. Sebenarnya, draf yang saya nak bentang kepada SV saya, tidaklah selengkap dan sebaik mana tapi saya sangat terkesan dengan pesanannya. Pesanan inilah yang saya ingin kongsikan dengan anda semua. Pesanan ini berbunyi, "Awak adalah orang yang baik dan tidak berbuat dosa, saya yakin awak akan cekap dan pandai dalam pelajaran." Ringkas tapi terkesan kerana saya bukanlah apa yang beliau katakan. Hampir berlinang air mata saya tapi kena tahan supaya tiada perubahan emosi yang berlaku di situ nanti. Sekali lagi saya tekankan saya bukan apa yang beliau maksudkan, tapi anda tahu tak kenapa beliau berkata begitu?

      Ini adalah, hasil pemerhatian, walaupun beliau pensyarah saya dari tahun 1 hingga sekarang dan saya yakin dan pasti beliau melihat saya membesar di hadapannya dan pasti beliau tahu perangai anak muridnya yang satu ini. Pada saya, beliau sangat menghargai sedangkan saya sering melakukan kesalahan yang saya rasa cukup untuk beliau singkirkan saya. Saya juga telah fikir pelbagai perkara buruk, apakah akan jadi apabila saya jumpa beliau setelah saya lari daripada melakukannya tempoh hari. Namun, beliau hadapi saya dengan tenang, dan raikan pendapat saya. Sangat baik! Saya benar-benar terkesan dan saya rasa sangat menyesal membuat kesalahan-kesalahan yang biadap sebelum ini. Namun, Allah ilhamkan saya dengan membuka mata saya dan melihat segala kebaikkannya. Lihat prasa beliau yang seterusnya, "Saya tak kisah orang tak suka saya, marahkan saya, kerana dosa saya akan berpindah kepada dia dan pahala dia kepada saya.Kalau suka saya, doakanlah saya." Lihat di sini, mungkin saya lupa nak doakan pensyarah, benar! saya doa tapi tak spesifik kepada sesiapa. Beliau mengingatkan supaya doakan beliau. Ya! Doakan beliau, bagi saya beliau sudah cukup banyak berkorban untuk anak muridnya, sedangkan saya, usahkan berkorban, berdoa pun tidak. Terasa, banyak yang dikongsikan, bukan sekadar PSM.

     Hari ini, saya nyatakan bahawa jarang saya dapat ilmu begini, dua-dua telah di cover. Dunia dapat, akhirat pun dapat. Terima kasih kepada pensyarah yang sangat baik saya kira. Saya doakan 'ummi' sentiasa diberi kekuatan untuk memberi tunjuk ajar yang berterusan tanpa berputus asa kepada kami semua ini yang sangat dahagakan ilmu.Maafkan kesalahan kami dan sayangilah kami semua, semoga berkat seorang guru dapat dikongsi dangan pemberian bonus rahmat dari Allah SWT. Ya Allah, sayangilah pensyarah kami sebagaimana mereka menyanyangi kami dengan sentiasa komited mencurahkan ilmu yang berguna kepada kami.Amin...


        Sekadar itu sahaja, tidak hebat mana, tetapi lahir sesuatu kehebatan.  :)

Wednesday 15 August 2012

Pencuci Muka Kelas Pertama



Cermin ini jelas menunjukkan wajah saya dimenuhi jerawat di seluruh muka. Pada awalnya saya tidak ambil peduli akan jerawat ini kerana bagi saya ini adalah kesan daripada  terdedah dengan pencemaran habuk, sinaran matahari, tekanan kerja, pemakanan dan sebagainya. Tidak hairanlah jika jerawat bertubi- tubi naik ke muka, silih berganti. Tidak saya pedulikan, tapi orang lain pula yang peduli, mungkin jerawatnya jelas kelihatan dan ketara nampaknya.


      Nak dijadikan cerita, sewaktu pulang ke kampung saya mendapatkan tiket untuk pulang ke Johor pada 4 hari akan datang. Jadi, apabila tiket dibeli awal, saya tidak perlu berebut-rebut untuk mendapatkan tiket lagi. Sewaktu membeli tiket, saya ditegur oleh abang penjual tiket kerana jerawat yang sangat banyak pada muka. Saya tergamam, tidak menyangka bahawa abang tiket pun boleh tegur berapa banyaknya jerawat di muka saya. Paling saya tak tahan, dia siap bagi tips lagi bagaimana untuk mencegah jerawat tersebut. Katanya, "Nanti adik balik rumah adik ambil sebiji limau nipis kemudian belah dua. Adik buang bijinya dan sapukan pada muka. Memang pedih sikit tapi insyaallah berkesan." Nasib baik perbualan itu adalah antara saya dan dia sahaja, kalau tak malu juga dibuatnya. Saya hanya mendengar kemudian mengucapkan terima kasih lalu berlalu dari situ. Ingatkan sampai di situ sahaja, balik rumah kakak ipar saya pula mula menegur, melihatkan muka yang penuh jerawat. Pastinya dia hairan kenapa muka saya teruk sehingga begitu sekali. Maka hari itu, saya kena terima hakikat wajah saya sangat teruk dengan jerawat.  Sejak hari itu, saya sudah merancang dan sedaya upaya mencari pencuci muka supaya  jerawat kurang dan lebih tepat lagi hilang teruslah.


      Namun, sebanyak mana pun pencuci muka yang ada, tidak membantu sedikit pun. Jadi saya jadi malas untuk mencuba apa-apa produk baru. Saya teruskan dengan pencuci muka yang ada. Semakin lama semakin teruk berjerawat. Mungkin ini adalah kesan daripada pemakaian pencuci muka yang banyak.

      Lama keadaan itu sampai satu tahap membasuh muka dengan pencuci muka tidak perlu lagi. Saya lebih suka dengan pencuci muka kelas pertama iaitu berwuduk sekaligus menggunakannya bukan hanya membersihkan muka malahan membersihkan hati dengan kesinambungan amalan-amalan yang dilakukan selepas itu. Suka kan? Mestilah, air wuduk merupakan pencuci muka kelas pertama saya. Pencuci yang lain adalah pencuci muka kelas kedua. Dua-dua saya gunakan. Kini wajah nampak lebih baik dan jerawat mulai kering dan beransur hilang. Kadang-kadang ada juga, biasalah tekanan belajar mungkin. Jadi saya sarankan anda cubalah, pasti berkesan. Bukan sahaja bersih daripada jerawat malahan berseri-seri pada  wajah anda. Pasti ada perubahan dan yang paling penting kena yakin dengan Allah SWT.

      Tuntasnya, kita seharusnya melatih diri untuk sentiasa berwuduk bukan sekadar untuk solat malahan sebelum tidur, sebelum belajar, sebelum memulakan perjalanan dan pelbagai lagi. Apabila kita biasakan diri kita untuk memelihara wuduk, secara tidak langsung memudahkan diri kita untuk terus bersolat apabila masuk waktunya. Tidak perlu mengangkat wuduk lagi, tapi kalau nak berwuduk lagi boleh sahaja, silakan. Bertambah-tambah pahalanya.  Sekiranya jerawat masih ada lagi, tidaklah menjadi masalah pada diri saya apatah lagi untuk bersedih lagi. Kenapa perlu bersedih? Sedangkan jerawat  itu baik untuk kita daripada kekotoran terperangkap dalam kulit, lebih baik dilkeluarkan. Tak jadi masalah kan?


     Satu yang saya kena ingat kamu juga ya mesti kena ingat, jerawat ini dari Allah, Allah yang mengatur sistem tubuh kita.  Mungkin boleh usaha dengan menjaga pemakanan dan pelbagai lagi. Insyaallah baiklah muka itu nanti. Jerawat yang banyak memang kena buat sesuatu tapi janganlah menyebabkan pembaziran dan boleh memudaratkan diri sendiri pula. Berpada-padalah dengan apa yang ada. Seperti saya sarankan gunakan sahaja pencuci muka kelas pertama. Lumayan bukan?  Semoga bermanfaat dan semoga Allah permudahkan urusan kalian.

Monday 13 August 2012

INDAHNYA BERSAMA...



“Aiman Athirah binti Abdul Rahman!”, namaku dipanggil ke hadapan untuk bertemu guru kelas bagi mengambil borang pinjaman buku teks. Hari ini  merupakan hari pertama aku berada di sekolah. Nampaknya semangat ke sekolah kembali lagi apabila aku bakal mengubah suasanaku dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Menarik pula rasanya. Yelah, selama ini selalu dalam lingkungan suasana yang kecil, kelas yang tidak banyak dan kurang muridnya. Namun apabila ke sekolah menengah, sudahlah sekolahnya besar banyak pula kelasnya.
Kenangan indah bersama....
Alhamdulillah,  aku ditempatkan di kelas pertama dalam sekolah tersebut. Tak sangka pula aku terpilih untuk menyertai golongan yang cerdik pandai. Seronoknya belajar di kelas pertama di sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau ini adalah kerana kelas pertamanya adalah kelas yang dilengkapi dengan pembelajaran rancangan khas. Pelajarnya diberi peluang untuk belajar pendidikan Al-Quran serta bahasa Arab seperti belajar di sekolah agama tapi tidak sepenuhnya sepeti di sekolah agama sana, asasnya  sahaja. Namun aku bersyukur, aku masih lagi diberi pengetahuan tentang ilmu agama walaupun aku tidak pergi ke sekolah agama. Seronok tak terhingga rasanya.
Kehidupan di sekolah diteruskan seperti biasa, macam biasa bersama sahabat-sahabat yang setia bersama buku ditangan. Masing-masing sibuk menjaga prestasi mereka di dalam kelas supaya tidak kandas dan sentiasa maintain dalam kelas. Aku pula bagaimana? Haha ..Berbeza dengan sahabat-sahabat  lain, peduli apa aku dengan prestasi di dalam bilik darjahku. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan akulah orang yang berada di barisan belakang sekali. Malu juga dengan kelas lain, kerana prestasi mereka lebih baik berbanding aku. Menyesal? Masa itu sahajalah, kemudian aku menjalani  kehidupan seperti biasa.  Sibuk terlibat dengan sukan, persatuan dan sebagainya. Apabila aku bosan, akan aku tinggalkan apa yang aku lakukan. Buat kerja separuh jalan,akulah tu. Malas sungguh aku apabila nyata kebosanan melebihi segala-galanya.
Begitulah aku, di alam persekolahan.Tiada apa yang menarik sangat tapi ada sesuatu yang belum aku cerita lagi perihal cinta. Zaman aku sekolah, keadaan baik sedikit rasanya.Couple pun sorok-sorok, takut cikgu tahu. Aku susahnya nak terima orang untuk couple, orang yang ajak aku couple tu pun pelik jugak, tak reti-reti bila cakap aku tak suka maknanya tak sukalah. Macam itulah keadaannya dan sekali aku couple, cuma nak test aku boleh ke couple tapi tak boleh rupanya, tak tahan pun. Tak sampai 3 bulan aku dah putus. Agak-agak korang kenapa putus???
 Eerm, bukan sebab aku terluka dengan si dia dan bukan jugak aku dah jumpa orang lain tapi sebab rasa bersalah bercinta tak tentu pasal ni. Istilah couple inilah buat aku seram seluruh badan, mana taknya, bila dah couple, kena jumpalah, bertentang mata, makan sama, apalah, rimas aku. Nak dating dekat tempat yang aku pun tak berminat sangat nak pergi panggung wayang, karaoke, pusat hiburan dan macam-macamlah. Biar orang kata tempat tu best pun. Bagi aku no way, tak nak aku pergi. Biar orang kata aku kolot pun, tapi aku tetap dengan pendirianku. Emak ayah aku tak pernah ajar pun aku pergi ke sana, tiba-tiba orang lain yang entah sesiapa nak ajak aku ke sana. Terima kasihlah, tidak sekali-kali aku akan ke sana. Wah, macam baik pulak aku ni. Begitulah kawan-kawan, bukan aku tak nak bercinta ni, tapi itulah jadinya. Menyampah aku bila jadi macam tu. Menyesal dekat diri sendiri.
Ok habis kisah percintaan yang tak menarik pun aku kira. Biasalah, bila jadi budak-budak macam itulah jadinya. Ada lagi yang belum aku ceritakan, pasal panjat pintu pagar sekolah semata-mata nak beli aiskrim Malaysia dekat taman perumahan belakang sekolah. Kemudian aku kacau orang dengan ulat gonggok sampai lelah kawan aku dibuatnya, dan macam-macam lagilah. Cerita dekat sini aku jamin sampai pagi esok pun tak habis. Jadi kita teruskan ya? Aku terus bersekolah sehingga habis tingkatan 5 dan aku keluar dengan keputusan yang sangat mengecewakan aku kira.  Sehingga guru kelasku menyindir diriku supaya kahwin sahaja tak perlu belajar melihat keputusanku yang teruk itu. Oh! Kecewa diriku, tapi aku yakin cikgu cuma bergurau kerana dia pasti ingin aku berjaya suatu hari nanti.
Kemudian dengan rasa yang kurang bersemangat aku sambung persekolahanku di tingkatan 6. Biasalah tingkatan 6, bila dah biasa dengan suasana sekolah, kita jadi bosan untuk jadi budak sekolah lagi. Namun, dalam tak bersemangat itu tetap juga aku pasang sebuah angan-angan untuk melayakkan diriku masuk ke universiti terkemuka suatu hari nanti. Aku jadikan tingkatan 6 ini sebagai platform untuk aku ke sana. Besar harapan ini, bolehkah aku ni? Kita lihat nanti, jangan baca muka surat terakhir pulak untuk tahu kisah selanjutnya. Sabar, banyak lagi mahu aku ceritakan di sini. Mari kita sambung, kemudian di tingkatan 6 menjadi pelajar senior adalah perkara biasa. Akademik sekali lagi diabaikan, kenapa ya begitu? Biasalah, perkara yang selalu aku buat. Bila ada kesedaran itu sekejap sahaja. Tidak lama aku kira,malas aku ambil pusing tentang perkara itu. Sehinggalah aku punya semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan di sini apabila hadirnya mereka dalam hidupku.


Apa yang seronok di sini aku belajar banyak perkara.  Antaranya adalah aku menjadi seorang yang lebih matang di sini. Aku bertindak sebagai seorang kakak kepada adik-adik di sini. Memang sikapku seorang yang periang, jadi sangat mudah untuk aku mendekati adik-adik di sini. Sehinggalah sampai kepada pertemuanku dengan seorang yang sangat istimewa bagi diriku. Dia membuatkan aku tenang bersamanya.  Aku jadi seronok bersamanya, aman sekali apabila ditakdirkan bertemu denganya. Oops! Tunggu dulu, dia yang aku maksudkan perempuan ya, bukan lelaki. Jadi korong jangan fikir macam-macam sebelum sempat aku cerita.Ok, sambung balik. Istimewanya dia sehingga aku kenang dia sehingga sekarang.
Dia Rumaisya Milhan, gadis pemalu dan ayu sangat. Dirinya lengkap dengan tudung yang agak labuh dan bajunya berlengan cekak. Pakaiannya kemas dan kasutnya bersih walapun kasut tersebut jelas nampak koyaknya. Dia agak sederhana kerana aku pernah menyatakan kenapa tidak diganti sahaja kasut yang koyak itu tapi katanya ia masih elok dan tidak perlu diganti baru. Sedangkan kehidupan keluarganya agak berada, namun hasil didikan kedua ibu bapanya menjadikan dia begitu sederhana. Perwatakannya sudah nampak seperti ustazah. Sekali lihat, rasanya dia perlu bersekolah di sekolah agama di sebelah sana, tapi dia berada di sini. Sudah takdir Allah membawa dia ke sini untuk bertemu dengan diriku yang nakal tak tentu pasal ini. Dia banyak mengajarku, erti kehidupan yang lebih baik. Kehidupan yang lebih mengenal Allah swt. Dia mengajarku akan matlamat hidup sebenar adalah Allah dan Rasul. Indah bersamanya sehingga aku lupa segala-galanya. Setiap kali bersamanya, ada sahaja nasihat yang dititipkan untukku. Ketika itu kami sama-sama menetap di asrama, dan kebiasaan, tingkatan 6 akan menjadi exco di asrama untuk menguruskan pentadbiran di asrama. Tanggungjawabku ketika itu adalah sebagai penghuluwati di asrama itu. Sangat besarlah tanggungjawabku ketika itu. Aku sememangnya diberi kepercayaan penuh untuk menyandang jawatan itu. Rumaisya pada ketika itu berada di tingkatan lima sains dan merupakan seorang pengawas. Kami juga sama-sama bermain bola jaring dan merupakan atlet sekolah kami bersama Amira Haziqah yang merupakan sahabat baik Rumaisya juga.
Apa yang menarik tentang Rumaisya yang ingin aku kongsikan adalah dia sentiasa menemaniku dan memberi pelbagai nasihat tentang itu dan ini. Seperti akulah adik dan dialah kakaknya. Mana tidaknya, aku nakal sangat, itu pun sebab dikawal kerana sedar diri ini sudah besar, jika aku buat perangai budak-budak di sini hilang segala kepercayaan yang diberikan kepadaku oleh guru-guru dan pelajar di sini. Sebab itulah aku menjadi baik dan kadang-kadang nakal juga cumanya tidaklah terserlah seperti dulu.  Rumaisya lah yang mengajarku banyak erti sabar, pengorbanan mementingkan sahabat dan pelbagai lagi. Saat aku lemah dan dimarahi oleh guru kerana gagal melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, dialah yang selalu hadir memberi kata-kata semangat supaya aku terus bangkit menjadi yang terbaik.  Kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa positif. Itu yang aku kagum mengenai dirinya.
 Suatu hari, kami diuji, bila mana ada yang tidak senang dengan perhubungan kami. Ketika itu aku sibuk menguruskan Karnival Asrama Harian yang akan dianjurkan di sekolah kami. Jadi aku perlu menggerakkan exco-exco asrama untuk membuat persediaan yang terbaik semasa karnival berlangsung. Selebihnya, aku serahkan kepada penghulu untuk menyediakan perkara yang berkaitan dengan pihak atasan.
Kemudian aku cuba mencari Rumaisya, untuk bertanya khabar tentangnya. Walaupun kami sebumbung tapi bila suasana sibuk seperti ini jarang sekali dapat bersua muka. Aku sedikit kecewa kerana aku dikhabarkan bahawa Rumaisya pulang ke kampung kerana melawat  ibunya sakit. Aku agak kecewa kerana tidak diberitahu dan beraggapan mungkin Rumaisya tidak sempat untuk itu. Aku doakan semoga dia selamat dan ibunya cepat sembuh. Pada minggu hadapan, Rumaisya pulang, tapi agak pelik kerana dia mengelak daripada berjumpa aku. Kenapa? Jangan tanya, sebab aku pun tidak tahu apa sebabnya.  Aku cuba lagi untuk mencari ruang bagi berbual dengannya. Aku bertanya perihal ibunya, tapi dia berlalu meninggalkan aku seorang diri. Aku cuba mendapatkannya dengan menarik tangannya perlahan dan cuba menyelesaikan masalah di antara kami.
 Rumaisya merentap tangannya dan berkata, “Tak payah nak buat baik kak, selama ni saya ingatkan akak ikhlas berkawan dengan saya tapi akak gunakan saya untuk kepentingan diri akak. Sampai hati akak buat saya macam ni. Lepas ni, saya tak mahu jumpa akak lagi, jangan peduli hal saya lagi. Akak buat sahaja hal akak.”
 Rumaisya pergi meninggalkan aku. Aku pula sangat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan, tidak pernah aku dimarah sebegini olehnya. Apa yang harus aku lakukan, tidak mungkin aku mengejarnya lagi untuk mengetahui lebih lanjut. Biarlah dia sejuk dahulu, mudah-mudahan aku punya ruang untuk berbicara dengan lebih waras, bukan dengan cara marah-marah begini. Seketika kemudian aku dipanggil untuk bertemu warden.
 Mungkin warden mahu mengetahui progres persiapan untuk menyambut karnival yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Sangkaanku meleset, aku dikejutkan dengan surat cinta yang sangat aku kenali. Aku membaca surat yang dihulurkan oleh Cikgu Hayati kepadaku sekilas.
Khas buatmu,
Farid Ridzwan
Engkau hadir dalam diriku
Lama aku tunggu kehadiranmu
Ingin aku rasakan kebahagiaan bersamamu
Aku pelihara diri ini daripada pandangan orang lain
Aku pelihara hati ini daripada hati orang lain
Aku hanya dambakan dirimu kekasihku
Aku ingin kamu menjadi anak yang soleh buat ibu bapaku
Aku ingin kamu menjadi saudara yang baik buat adik beradikku
Aku ingin kamu menjadi bapa yang menjadi kebanggaan buat anak-anakku
Aku jua mengharapkan suami yang amat mendamba cinta Allah dan Rasul
Dan akulah pendampingmu untuk harungi semua ini
Akanku nantikan dirimu
Hadirlah kepadaku kekasih halalku
Yang benar,
Aiman Athirah ….

Terkejut aku dibuatnya kerana perbezaan yang nyata ketara di atas surat ini.Surat ini ditulis oleh Rumaisya, yang menyatakan isi hatinya yang tulus buat manusia yang bernama Adam khas buat suaminya suatu hari nanti. Dia berkongsi sajaknya itu bersamaku. Diberikan kepadaku satu salinan untuk aku simpan. Yang menghairankan aku, di atasnya dtujukan buat Farid, penghulu asrama putera dan dibawahnya tercatat namaku. Cikgu Hayati memandang tepat ke dalam mataku. Cikgu Hayati yang juga merupakan guru kelasku memang kenal benar dengan tulisanku dan dia juga tahu bahawa tulisan itu adalah tulisan tangan Rumaisya, kerana pada setiap buku latihanku, tulisan Rumaisyalah yang menghiasi kulit hadapan buku tersebut. Cikgu Hayati juga sedia maklum bahawa hubungan aku dan Rumaisya sangat rapat. Jadi dia tidak teragak-agak bahawa akulah yang menyuruh Rumaisya menulis surat tersebut untuk diberikan kepada Farid. Oh! Tidak, rasa nak jatuh jantungku, bagaimana kertas yang tersimpan rapi di dalam laciku boleh sampai ke tangan Cikgu Hayati. Sedangkan surat ini tidak aku tujukan kepada sesiapa melainkan menghargai karya seorang sahabat. Tidak hairanlah Rumaisya menuduh aku sebegitu rupa, keaadan ini yang berlaku rupanya.
 Suara Cikgu Hayati bergema semula, “ Saya tidak teragak-agak untuk menghantar awak kepada pengetua dan jawatan awak dilucutkan jika awak tidak memberi apa-apa bukti yang menyatakan awak tidak bersalah dengan surat ini.”
Aku bingung, apa yang harus aku lakukan?  Aku segera menjawab, “Tunggu dulu cikgu, memang surat ini surat saya yang dihadiahkan Rumaisya kepada saya. Saya cuma meraikan karya Rumaisya dan saya simpan rapi di dalam laci almari saya. Memang nama saya yang tertera di situ tapi bukan saya pengirimnya. Jika dilihat tulisan yang menulis nama Farid itu bukan tulisan saya. Begitu juga tulisan yang menulis nama saya itu, bukan juga tulisan saya. Cuba cikgu perhatikan betul-betul, cikgu juga kenal tulisan saya bukan?” Lega nafasku melepaskan apa yang aku terfikir. Cikgu Hayati pula mengamati tulisan tersebut, dia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan kenyataanku sebentar  tadi.
Cikgu Hayati berkata, “ Baiklah Aiman, saya percaya kata-kata kamu. Saya juga tidak percaya jika kamu sanggup lakukan ini. Nanti saya akan siasat siapa pelakunya.”
 Aku tersenyum dan mengucapkan terima kasih lalu keluar dari pejabat warden itu. Kemudian aku aturkan langkahku ke dewan sekolah untuk menyiapkan kerja yang masih berbaki di sana. Harapanku, tidak bertembung dengan Farid kerana malu dengan surat yang bukan untuknya. Janganlah dia perasan, aku tak suka dia pun. Dia pun satu hal jugak yang bagi surat tu dekat cikgu buat apa, selesaikan sahaja denganku. Sibuk jugak nak bawa perkara tersebut ke pihak atasan.
Malang nasibku, apabila Farid terpacul di depan muka pintu. Aku cuba berlagak tenang dan bertekad tidak akan menegurnya. Sampai sahaja di situ, Farid terus menegurku menanyakan perihal tentang banner yang akan digantung di depan pintu dewan. Terpaksa aku menjawab, dengan tersekat-sekat, nyata bersalah. Namun aku hairan, kerana Farid tidak bertanya apa-apa mengenai surat tersebut.
 Lalu aku memulakan bicara, “Farid,aku mintak maaf ye,surat tu bukan aku yang kasi.” Farid memandangku pelik dan menjawab, “Surat apa ni? Aku tak dapat apa-apa surat pun.”
Aku malu sendiri kemudian aku menjawab, “Tak ada apa-apa Farid, cumanya aku nak tanya surat daripada pihak sekolah lain yang bersetuju untuk sertai karnival kita ni ada pada kau tak?” Serius aku bertanya nak cover perkara tadi. Aduh malunya aku.
Farid menjawab, "Oh, ada aku dah letakkan di pejabat warden, nak tengok pergilah ke sana.”
Aku berlalu dan mengucapkan terima kasih kepada Farid. Bukan dia yang perasan aku yang perasan rupanya. Malu sungguh aku dibuatnya.
Aku masuk kembali ke bilik warden. Aku bertanyakan mengenai surat yang dikatakan Farid, kemudian sebelum aku melangkah keluar aku terfikir untuk bertanya kepada Cikgu Hayati di mana dia dapat surat tersebut. Kemudian Cikgu Hayati memberitahu bahawa dia menjumpai surat tersebut di dalam buku latihan Bahasa Melayu Rumaisya semasa dia menanda buku tersebut. Di atas sampul surat itu tertulis pesanan meminta Rumaisya yang sampaikan surat tersebut kepada Farid. Lalu Cikgu Hayati memanggil Rumaisya dan Rumaisya mengira akulah yang meminta dia melakukan perkara tersebut. Dia menyatakan kepada Cikgu Hayati yang dia tidak mengetahui apa-apa tentang itu, sebab itulah Cikgu Hayati memanggilku. Hajatnya untuk bertemu kami bersama-sama tetapi aku terlalu sibuk dengan  program, jadi cikgu menangguhkan untuk berjumpa denganku.
Begitulah ceritanya, tidak hairanlah jika Rumaisya terasa hati dengan diriku. Bersyukur juga aku kerana surat itu tidak sampai ke tangan Farid dan Cikgu Hayati juga tidak memanggil Farid sebelum masalah ini selesai. Namun, aku masih terfikir siapalah punya angkara yang sanggup menfitnah kami dan bagaimana mahu aku terangkan kepada Rumaisya keadaan yang sebenarnya. Senak otakku memikirkan segalanya.  Sudahlah aktiviti program belum selesai, datang pula masalah baru.
Selesai solat Maghrib berjemaah, aku bangun untuk ke bilik. Hajatnya untuk mengambil minyak angin kerana kepala aku mula terasa pening. Dalam perjalanan untuk ke bilik terdengar suara beberapa orang  ketawa menceritakan sesuatu. Sepatutnya waktu seperti ini, tiada sesiapa yang akan dibiarkan di dalam bilik kerana antara maghrib dan isyak ada tazkirah yang akan disampaikan oleh ustaz di surau. Semua orang wajib menghadirinya. Aku mengatur jua langkahku ke arah bilik tersebut untuk memberi peringatan kepada mereka. Terdengar suara Amira Haziqah, Ismariza dan Shah Faizah. Memang kebiasaan merekalah paling lambat turun ke surau. Belum sempat aku memulas tombol pintu, aku terdengar sesuatu yang aku cari selama ini.
“Puas hati  aku tengok Rumaisya marah kak Aiman tadi. Biarkan mereka rasa apa yang aku rasa. Kak Aiman itulah ambil Rumaisya dari aku, sehingga hubungan aku dan Rumaisya semakin jauh. Biar mereka rasakan sakitnya hubungan apabila dikhianati.” Luahan kata-kata Amira benar-benar mengejutkan diriku.
 Setahu aku Rumaisya jauhkan diri daripada Amira adalah kerana untuk mengelakkan diri daripada menceritakan masalahnya kepada Amira. Tidak sangka Amira tegar melakukan semua ini kepada kami.
Sekarang baru aku tahu, tidak baik rasanya untuk menyalahkan Amira sahaja. Nanti akan aku jernihkan hubungan kami bertiga. Biarlah menjadi rahsia antara kami bertiga dan kawan –kawan Amira. Apabila mereka senyap seketika aku mengetuk pintu dan mengarahkan supaya mereka cepat ke surau. Kemudian aku bergegas pergi supaya kehadiranku tidak disedari oleh mereka.

Hari ini aku tekad untuk menyelesaikan segala kekusutan yang ada. Aku bertemu Cikgu Hayati dan meminta supaya dia mengabaikan kes aku semalam. Aku memberitahunya bahawa aku tahu siapa pelakunya dan aku telah memaafkannya. Aku tidak mahu Amira akan dihukum dengan tatatertib sekolah. Biarlah kami sahaja yang menyelesaikannya. Lagipun Amira perlukan perhatian. Cikgu Hayati bersetuju dan dia memberikan kembali surat yang ada padanya kepadaku. Aku berjumpa Rumaisya dan Amira di kelas mereka. Oleh kerana, mereka berdua berada dalam kelas yang sama, tidak susah mencari mereka.
“Rumaisya, Amira akak nak jumpa kamu berdua petang nanti di padang bola jaring sebelum kita mulakan latihan petang ini. Boleh ya?”, pintaku.
“Tengoklah dulu kak, kalau saya kuat.” Kata Rumaisya sambil memasukkan buku latihannya ke dalam beg tanpa memandang ke arahku. Mungkin masih marah kepadaku.
Amira tergamam kemudian mengangguk laju tanda bersetuju.
“Ok, terima kasih, akak tunggu kamu berdua ya.” kataku lalu berlalu pergi dengan senyuman yang senang aku kira. Sekurang-kurangnya mereka sudi, harapnya mereka datang.
Usai solat Asar, kami membaca al-mathurat yang menjadi kebiasaan kami penghuni di asrama ini. Aku sempat berdoa semoga dipermudahkan urusanku untuk menyelesaikan masalah kami pada petang ini. Aku menyarungkan tudungku dan dipinkan supaya kemas untuk memulakan latihan pada petang nanti. Kasut sukanku ini sudah lama tidak ku sarung, rindu rasanya untuk bermain di luar sana. Lama sungguh aku meninggalkan sukan ini sejak sibuk menguruskan program di asrama. Aku berlari anak ke padang bola jaring, kelihatan Rumaisya dan Amira sudah sedia menungguku. Alhamdulillah, mereka datang akhirnya.  
Aku memberi salam kemudian menghulurkan tangan untuk bersalam dengan mereka. Bertanya khabar sedikit sebanyak sebelum memulakan agenda seterusnya. Amira agak ceria mungkin kerana hubungannya dengan Rumaisya sudah kembali baik, kalau betulah apa yang aku rasakan,baguslah. Rumaisya menarik muka apabila aku datang. Segera hilang senyuman di bibirnya, mungkin masih marahkan aku lagi. Tidak mengapalah, biarlah. Semoga pertemuaan petang ini merungkai segala masalah kami.
Aku mula berbicara “ Sebenarnya, akak  nak selesaikan masalah dengan Sya dan Mira. Pertama sekali akak mintak maaf, selama ini akaklah punca kamu berdua bergaduh. Akak  tahu Mira marahkan akak sebab akak  baik sangat dengan Sya. Akak pun tahu yang Sya  marahkan akak sebab surat tu. Maaf Sya, sebenarnya akak tak tahu apa-apa pasal surat tu. Akak simpan surat tu lama sangat, dan tak tahu bila masa terlepas ke tangan orang lain. Akak dah terangkan kepada Cikgu Hayati bahawa akak dan Sya tak bersalah kerana tulisan yang tertera bukan tulisan kita berdua.”
Muka Amira mula merah mendengarkan kata-kataku, mungkin dia terasa apa yang aku katakan.
Aku menyambung,”Akak pun dah minta Cikgu Hayati supaya hentikan siasatan kerana akak tahu puncanya dari siapa. Mira, akak tak marahkan Mira, akak maafkan Mira. Kalau akak di tempat Mira, akak pun akan rasakan perkara yang sama. Mira faham kan apa maksud akak?”
“Maafkan Mira Kak Aiman. Memang Mira yang buat semua tu sebab Mira cemburu tengok akak dan  Sya selalu bersama sehingga Sya lupa pada Mira.” Terluah juga kata-kata  Amira sambil air matanya mengalir tanda menyesal di atas perbuatannya.
“Sanggup Mira buat macam ni pada Sya dan Kak Aiman? Kawan jenis apa Mira ni?” marah Rumaisya.
“Sya sabar, kita dengar dulu apa yang Mira nak bagitahu, sabar ye. Sya yang akak kenal dulu baik orangnya. Sabar ye kita dengar penjelasan Mira dulu.” Aku menenangkan Rumaisya.
“Kak Aiman, Sya, sebenarnya, Mira dengki tengok hubungan akak dan Sya baik sangat. Ke mana-mana pun bersama. Bila Sya sakit, Kak Aiman akan jaga Sya.  Begitu jugak kak Aiman sakit, Sya pulak yang akan jaga. Apa-apa masalah Sya mesti cari Kak Aiman dulu, bukan Mira. Sedangkan kita kawan lama Sya dari Sya kenal Kak Aiman. Sya tak pernah cerita masalah Sya kat Mira sejak Kak Aiman ada dekat sini. Semua masalah mesti Sya rujuk Kak Aiman. Kecik hati Mira, Sya buat Mira macam ni. Sebelum ni Sya tak macam tu pun,” terang Mira sambil mula menangis teresak-esak.
Aku menarik nafas dalam, terasa juga hatiku kerana tidak memahami masalah si Mira ini. Aku memandang Rumaisya lalu berkata, “ Mungkin ada sesuatu yang Sya nak terangkan kepada Mira.”
Rumaisya yang mula menangis teresak-esak menceritakan apa yang dia rasa, “ Sebenarnya Mira, Sya tak nak bebankan Mira dengan masalah Sya. Dah banyak sangat dah Mira tolong Sya dan selama itu jugak Sya pun akan kena tempias daripada masalah Sya. Sebab itulah Sya cari Kak Aiman, kerana Sya tak nak lagi bebankan Mira dengan masalah Sya yang banyak. Sya tahu Mira sayang dekat Sya sebab itulah apa sahaja masalah Sya, Mira pasti nak tolong. Kalau tak dapat selesaikan semua, Mira tetap nak tolong Sya. Jadi Sya tak nak buat macam tu lagi sebab Sya pun sangat sayangkan Mira. Sayang Mira sampai akhir hayat Sya, Mira. Mira tahukan kita punya cita-cita besar bersama dan banyak perkara yang kita nak capai bersama. Kak Aiman selalu nasihat supaya Sya tak tinggalkan Mira, sebab Kak Aiman pun tahu Sya sayang Mira.”
 Mengalir jua air mataku mendengar kisah mereka, tak sangka begini jadinya. “ Adik-adik, ustaz ada beritahu semalam tentang  firman Allah yang berbunyi:
“(yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
Ali Imran ayat 134.
Adik-adik tahukan apa ertinya, ustaz dah terang panjang lebar tentang ayat ini. Jadi, Kak Aiman minta maaf ya. Mulai hari ini apa-apa sahaja masalah Sya dan Amira boleh cari akak. Kita bina hubungan baru. Maafkan akak Mira, sebab akak tak perasan akan perasaan Mira. Sekarang ni, apa sahaja masalah, bolehlah rujuk akak ya. Jangan segan-segan lagi. Kakak sayang kamu berdua kerana Allah.  Aku  memeluk Sya kemudian Amira, Aku eratkan pelukan kami bertiga dan dalam hati aku berdoa semoga Allah kekalkan hubungan kami bertiga sehingga akhir hayat.


 Aku mula fokus pada pelajaranku, sekarang sudah hampir kepada final exam. Sudah masuk sem kedua aku di sini. Akhirnya impianku tercapai jua untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ini. Universiti Teknologi Malaysia,Johor Bahru(UTM) adalah universiti terkemuka di  Malaysia dan kini aku berada di sini. Aku berhenti seketika dari mentelaah buku-bukuku. Aku sandarkan kepalaku  sambil memicit-micit kepala yang agak pening kerana lama sangat mengadap buku ini. Alhamdulillah, aku telah habis mengulangkaji mata pelajaran untuk subjek Biomekanik Sukan. Sebagai pelajar Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Sains Sukan aku terdedah untuk mengkaji pergerakkan manusia dalam sukan untuk memudahkan kajian tentang peralatan yang dapat membantu menghasilkan kualiti pergerakan sukan yang baik.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi tertera nama Rumaisya di atasnya, aku tersenyum dan segera menjawab, belum sempat memberi salam mereka menjerit.
 “Kak Aiman, sanah helwah ukhti.” Ceria suara Rumaisya dan Amira di hujung talian. Kemudian diikuti dengan lagu selamat hari jadi versi Inggeris pula. Macam-macam karenah adik-adikku ini. Mereka ingin datang ke kolej kediaman aku pada petang ini memandangkan kasihan kepadaku kerana akan menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi dan kami merancang akan makan di Arked Meranti berhampiran dengan kolejku ini. Selalunya kami akan bertemu di luar kerana Rumaisya dan Amira menyambung pelajaran mereka di matrik Johor.  Jadi mudahlah untuk kami berjumpa di mana-mana  yang dirasakan sesuai. Mereka juga sudah hampir habis pengajian di matrik dan berhasrat ingin melanjutkan pelajaran di bumi UTM, katanya ingin terus bersama aku. Terharu rasanya, dan tidak sabar menunggu kehadiran mereka ke sini. Semoga ukhwah kami lebih mantap dan matlamat mencari redha Allah akan lebih jelas apabila berada di sini. Rumaisya Milhan dan Amira Haziqah, akak tunggu kehadiran kamu berdua.

Saturday 21 April 2012

Persimpangan Jalan

Di persimpangan jalan
Aku merenung dalam diri ini
Haruskah aku meneruskan perjalanan
Bagaimana harus diteruskan andai
Aku tidak tahu yang mana yang terbaik buatku

Di persimpangan jalan
Aku kini duduk termenung
Doa dipanjatkan supaya Allah tunjukkan
Aku jalan yang lebih mudah
Jalan yang tidak menyakitkan hatiku
Jalan yang tidak juga menyakiti yang lain
Jalan yang memberi kebahagiaan
Dunia dan akhirat

Di persimpangan jalan
Aku kini bangun
Melihat di sekeliling
Jalan pertama luas,besar dan lurus jalannya
Jalan kedua sempit,semak sudah mula menjalar
Berliku-liku jalannya
Aku harus membuat keputusan

Di persimpangan jalan
Aku melihat ramai yang melalui jalan yang luas itu
Sedikit pula yang melalui jalan sempit itu
Aku semakin bingung
Apakah yang menanti di persimpangan jalan

Di persimpangan jalan
Aku terus berkira-kira
Jalan yang mana harusku tempuh
Hendakku lalui kedua-duanya
Namun aku tidak boleh begitu
Aku harus memilih yang terbaik

Di persimpangan jalan
Jalan yang luas lebih menarik perhatianku
Namun hatiku lebih berat
Kepada jalan yang sempit itu
Aku menarik nafas yang dalam
Kini aku punya keputusan

Di persimpangan jalan
Aku melangkah perlahan memasuki
Jalan yang sempit itu
Sedaya upaya menahan pandanganku
Dari menoleh ke belakang
Aku tekad dan inilah pilihanku

Di persimpangan jalan
Permulaan yang terbaik buat diriku
Pilihanku merubah hidupku
Meberi sinar kebahagiaan dalam diriku
Mendekatkan aku kepada Yang Satu
Bersyukur di atas nikmat-Mu Ya Allah
Mengajar aku memilih ketika aku

Di persimpangan jalan itu.......

Saturday 14 April 2012

Tolong Ingatkan Saya Jika......

Seindah senyuman...:)
Tolong ingatkan saya jika
Saya lupa akan nikmat Allah
Lupa akan kewajipan ibadah
Lebih parah apabila lupakan Allah

Tolong ingatkan saya jika
Saya lupa pesanan Nabi
Lupa selawat kepada baginda
Lupa mengikuti sunnahnya

Tolong ingatkan saya jika
Saya derhaka kepada ibu bapa
Tidak taat kepada mereka
Lupa tanggungjawab sebagai anak mereka

Tolong ingatkan saya jika
Saya abaikan sahabat saya
Bersangka buruk kepada mereka
Tidak membantu di saat mereka perlukan saya

Tolong ingatkan saya jika
Saya bercinta tanpa Redha-Nya
Melempiaskan cinta kepada manusia
Tanpa ikatan yang sepatutnya
Lebih dari cinta kepada-Nya

Tolong ingatkan saya jika
Saya mendedahkan aurat
Memakai pakaian seketat-ketatnya
Memakai pakaian sejarang-jarangnya
Memakainya untuk tatapan yang tidak sepatutnya

Andai ada perkara di atas yang saya laksanakan
Lemparkan selipar ke kepala saya
Andai saya marah
Katakan bahawa saya pernah berkata

Tolong ingatkan saya jika.......


Saturday 10 March 2012

Hadiah Oh Hadiah

Dalam dunia ini ada empat hadiah yang akan kita terima. pastinya seronok menerima hadiah bukan? Apa yang lebih menarik yang ingin saya kongsikan di sini, bukan kita sahaja yang meraikannya bahkan semua orang akan turut menyambutnya dan meraikannya. Teruja bukan? Mari kita lihat apakah empat hadiah tersebut.

Pertamanya hadiah yang pasti dan pasti adalah hadiah kelahiran. Apabila lahirnya kita di dunia semua orang akan turut menyambut kelahiran kita.Best kan?? Pelbagai hadiah disediakan di sini. Baik dari saudara mara, jiran tetangga dan sahabat-sahabat ayah dan bonda. Tidak kira  bagaimana pun kelahiran pasti disambut oleh setiap orang dan pasti dirasai kegembiraan di hati setiap insan yang berada di sekelilingnya. Untung betul dan bertuah sangat diraikan sebegitu rupa. Alhamdulillah kita kita diraikan di dunia yang penuh cabaran ini.

Seterusnya yang kedua adalah hadiah ulang tahun kelahiran. Saya yakinlah bahawa apabila tiba ulang tahun kelahiran pasti akan diraikan. Pasti jugalah  akan ada hadiah yang menyusul untuk menyambut ulang tahun kelahiran tersebut. Jika tiada pun, pasti ucapan hari lahir itu masih jua terungkap di bibir sahabat-sahabat atau sesiapa sahaja  yang mengingatinya meraikan ulang tahun kelahiran kita. Bertuah bukan??Begitulah seterusnya sehingga hujung nyawa.

Ketiga adalah hadiah perkahwinan. Saya pasti dan pasti hadiah perkahwinan disertakan dengan ucapan yang meriah dari setiap orang menyatakan kegembiraan di hati masing-masing. Bersatunya dua hati yang jauh pada hari yang indah. Sungguh gembira di hati setiap orang yang meraikanya dan tentu sekali, kedua-dua pengantin lebih merasai kegembiraannya.

Hadiah keempat ini, ramai juga yang menyambutnya, tapi nampaknya kesedihan lebih ketara berbanding  kegembiraan. Kenapa ya? Entahlah, yang pasti saya pun tidak tahu kerana yang mengetahui adalah individu itu sendiri dan Allah SWT lah yang lebih mengetahui. Hadiah keempat ini adalah hadiah kematian. Takut mendengarnya bukan?? Saya yakin anda mesti tersenyum riang menerima hadiah yang tersenarai di atas tapi yang ini tak tahulah apa perasaan anda sekarang. Saya pun tidak tahu kerana kita tidak sesekali lagi merasai mati. Jadi tidak tahu apakah akan menanti di sana nanti.Bagaimana dengan anda??

Tidak mengapalah mari kita teruskan. Realiti sebenar setiap orang pasti akan menghadapi mati, kerana mati itu pasti. Setiap orang jugalah yang tahu apakah hadiah yang didapatinya. Bergantung kepada dirinya sendiri, jika ingin mendapatkan hadiah yang extra bonanza dan lebih dari itu usahakan yang lebih baik seperti mana yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul dan jika tidak ketahuilah bahawa azab Allah sangat pedih. Mana yang kita mahu, hadiah yang indah atau sebaliknya? Mari kita melihat diri kita sudah cukup bersediakah kita menghadapi hadiah kematian ini? Jika belum, mari sama-sama kita meningkatkan amalan selaras dengan syariat Islam. Semoga Allah permudahkan urusan kita di sana, saat menerima hadiah kematiaan ini. Ya Allah kami pasti akan datang.....


Tuesday 17 January 2012

iBaDah MeNuruT PanDanGaN iSLam

"Dan Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku" (Adz Dzariyat :56)
 
Definasi Ibadah: 
Dari segi bahasa- merendah diri, tunduk, patuh dan taat. 
Dari segi syara- taat, tunduk patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah.

Ciri-ciri ibadah :
1. Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.
2. Boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
3. Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya cukup syarat.

Syarat-syarat ibadah :
1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak. 
2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik - bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan mamakmurkan bumi Allah.
3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya. “Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” Al-hadith. 
4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang lain. 
5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib. Peranan ibadah yang khusus Ibadah yang khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah untuk mempersiapkan individu menghadapi ibadah yang umum yang mesti dilakukan di sepanjang kehidupan.

Syarat-syarat Diterima Ibadah :
1) Lillah- niat yang ikhlas hanya untuk mencari keredhaan Allah. Niat yang ikhlas ini timbul dari hati yang bersih. Rasulullah bersabda : "Bahawasanya segala amal perbuatan itu tergantung pada niat, ..." (HR. Bukhari-Muslim).

 2) Billah- cara pelaksanaan seperti yang diperintahkan Allah dan yang dicontohkan oleh Rasulullah. Misalnya, kita mecontoh bagaimana Rasulullah shalat, puasa, bersillaturrahiim dan sebagainya.

3) Illallaah- dengan tujuan hanya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah. Firman Allah : Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. (QS. 2:207)